Letusan Merapi: Jenguk rumah

Ehsan dari Mr. Google


Sumber: myMetro

YOGYAKARTA: Walaupun masih dalam keadaan bahaya dan berwaspada, namun selepas seminggu Gunung Merapi meletus yang mengorbankan 38 nyawa, penduduk sekitar kawasan itu kembali ke kampung masing-masing meneruskan rutin harian mereka.
Baik lelaki mahupun wanita, mereka pulang menjenguk rumah untuk memastikan keadaan selamat dan tidak diceroboh.



Mereka kebanyakannya penternak dan petani pulang mencari rumput bagi memastikan lembu dan haiwan peliharaan lain tidak kelaparan.
Bagi penggali pasir, mereka juga sanggup memperjudikan nyawa dan pulang melakukan kerja menggali yang jaraknya terlalu hampir dengan kaki gunung untuk mencari rezeki.

Biarpun mengetahui keadaan masih tidak menentu, namun mereka bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sebab setiap kampung dipantau pasukan keselamatan yang memberi maklumat dan pertolongan dengan pantas jika Gunung Merapi meletus lagi.

Kebanyakan daripada mereka dilihat menggunakan motosikal untuk berulang alik ke rumah dan dengan cara ini mereka dapat bergerak lebih pantas jika berlakunya muntahan debu yang menghasilkan awan panas melanda kawasan perkampungan.

Bagaimanapun, itu tidak menjamin keselamatan mereka kerana apa saja boleh berlaku dan kebanyakan penduduk cepat panik dan berpusu-pusu turun dari perkampungan hingga ada menyebabkan kemalangan terjadi.

Bagi kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penempatan sementara, mereka diberikan alat permainan dan juga pembelajaran untuk menghilangkan kebosanan dan juga trauma yang dialami mereka.
Pelbagai aktiviti dijalankan setiap hari, selain bantuan berbentuk pakaian dan makanan turut diberikan.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sekitar Kota Jogja mendapati pelbagai kaedah digunakan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu mangsa Gunung Merapi.

Pelbagai cara dilakukan mereka antaranya remaja sekolah yang bergerak secara berkumpulan bermain gitar sambil mendendangkan lagu di celah kesesakan jalan dengan membawa kotak untuk diisi wang. Hingga berita ini ditulis, Gunung Merapi masih mengeluarkan debunya kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan semalam.

Buat penduduk, mereka bergantung kepada angin yang membawa debu vulkanik itu dan berharap debu menghasilkan awan panas itu tidak meluncur turun.

Pun begitu, mereka masih berhati-hati kerana debu yang sudah menjadi sejuk juga boleh mendatangkan pelbagai penyakit antaranya sesak nafas dan juga batuk. Walaupun debu putih ini sejuk, ia juga sangat ditakuti kerana ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

3 comments:

Anonymous said...

salam

kasihan juga musibah yang menimpa mereka. semoga penderitaan mereka dapat dikurangkan dengan bantuan doa dan sumbangan daripada rakan serantau.

¶A.K.I¶ said...

penyampai berita terkini~

huhuhu...

sesungguhnya bencana yang melanda adalah petanda kepada kiamat~~

K I E R A said...

Berani betul mereka ni.